Pengenalan
Program ini diadakan bagi mengumpulkan ahli-ahli tamat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) sama ada yang pernah belajar Seni Silat Cekak di kelas latihan Cawangan Melaka atau pun di kelas latihan peringkat institut pengajian tinggi (IPT) di bawah pentadbiran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Melaka (PSSCM CM).
Di samping itu, program ini secara tidak langsung dapat mengumpul maklumat ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia khasnya Cawangan Melaka dan seterusnya disimpan di peringkat cawangan sesuai dengan zaman era teknologi masa kini. Dengan adanya data ini, pihak persatuan dapat menyalurkan informasi terkini kepada ahli-ahli disamping untuk mendapatkan kerjasama dengan ahli-ahli untuk program yang akan datang serta dapat mencapai matlamat konsep 'bersama dan bersatu'. Dalam program ini, terdapat pengisian daripada beberapa tokoh terkenal dalam Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, justeru pengalaman yang mereka ada dapat dikongsi bersama dengan ahli-ahli tamat yang hadir.
SEJARAH
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Melaka (PSSCM CM) telah bertapak di Melaka pada tahun 1982 dan terhenti seketika kerana ketiadaan tenaga pengajar untuk meneruskan kelas latihan. Pada tanggal 5 Ogos 1998, kelas latihan Seni Silat Cekak telah dihidupkan semula di Kolej Yayasan Melaka (KYM). Sehingga ketika ini, terdapat 11 kelas latihan Seni Silat Cekak telah diwujudkan dan telah melahirkan ramai ahli tamat. Bagi ahli tamat yang menutut di IPT kebiasaanya akan pulang ke kampung halaman setelah tamat belajar. Mereka kemudiannya akan aktif di kelas latihan yang ada di kawasan mereka. Ada kemungkinan juga ahli tamat ini tidak aktif apabila pulang ke kampung halaman.
Oleh itu, program seperti ini diadakan bertujuan untuk mengumpulkan kembali mereka yang telah tamat ini dalam satu majlis. Di sini, ahli-ahli dapat berkumpul dan bermesra antara satu sama lain di mana ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim setelah lama berpisah. Di samping itu juga, ahli yang lama juga dapat berkenalan dengan ahli yang baru dan seterusnya akan membentuk satu ikatan silaturrahim antara mereka selari dengan perkembangan kelas latihan yang telah ditadbir oleh PSSCM CM.
OBJEKTIF PROGRAM:
· Mengumpulkan ahli-ahli PSSCM yang pernah belajar Silat Cekak di Cawangan Melaka supaya ahli-ahli dapat berkenalan antara satu sama lain yang sejajar dengan pantang larang di dalam Silat Cekak iaitu “tidak boleh bergaduh sesama ahli” serta mengukuhkan perpaduan sesama ahli.
· Memberi galakan kepada ahli-ahli persatuan supaya mereka terus berkecimpung dalam perjuangan memertabatkan seni dan budaya agar ianya disanjung tinggi dan dihormati oleh masyarakat seterusnya dapat menarik minat mereka untuk mewarisinya.
· Untuk mengumpulkan maklumat terkini ahli-ahli PSSCM dan seterusnya maklumat ini dibukukan dan diedarkan kepada ahli -ahli PSSCM sebagai kenangan.
· Menerapkan rasa tanggungjawab dalam setiap diri ahli persatuan dalam mengembangkan seni warisan bangsa kepada masyarakat agar ianya tidak pupus ditelan arus pemodenan.
· Memberi kesedaran kepada ahli-ahli persatuan mengenai kepentingan seni pusaka warisan bangsa yang dapat memainkan peranan membentuk peribadi mulia dan membina keyakinan diri untuk menghadapi cabaran masa kini.
Syarat-syarat Penyertaan
- Berminat menyertai program ini.
- Ahli PSSCM Sahaja.
- Pernah aktif / belajar Seni Silat Cekak Malaysia di Negeri Melaka dan Jemputan pihak Urusetia program.
- Telah tamat silibus matapelajaran Seni Silat Cekak Malaysia.
- Membayar Yuran yang telah ditetapkan.
Untuk Pertanyaan, sila <klik di sini>.